PERISA ALTERNATIF VANILA DARI BEAVER | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » PERISA ALTERNATIF VANILA DARI BEAVER

PERISA ALTERNATIF VANILA DARI BEAVER

Vanilla

Umum mengetahui vanila seringkali menjadi pilihan sebagai bahan perisa dalam industri pembuatan makanan. Aroma yang sebati membangkitkan selera dan menjadikan makanan lebih enak untuk dinikmati. Lazimnya ekstrak vanila boleh didapati daripada isi lenggai biji dari genus Vanilla seperti Vanilla tahitensis, Vanilla pompona, dan Vanilla planifolia. Namun, terdapat satu jenis cecair pekat yang mempunyai bau seakan vanilla dan hanya dihasilkan khas oleh mamalia yang dikenali sebagai beaver.

 

Cecair kastoreum

Cecair ini lebih kenali sebagai kastoreum yang boleh dieksudasi dari kantung kastor yang berada di panggal ekor dan pelvis beaver dewasa. Kastoreum merupakan kombinasi antara rembesan kelenjar kastor, kelenjar dubur dan urin. Secara lumrahnya, kedua-dua jantina beaver menggunakan cecair tersebut untuk menanda kawasan tempat tinggalnya. Baunya yang seakan kasturi dan vanilla menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam penghasilan minyak wangi, alat kosmetik dan perisa makanan. Malahan kastoreum dipercayai boleh merawat keresahan, insomnia, senggugut dan lain-lain. Namun tiada sebarang bukti kukuh saintifik yang dapat menyokong hujah tersebut. Lebih banyak kajian yang perlu dilakukan dimasa hadapan.

FDA turut mengiktiraf keselamatan bahan lain seperti ambergris, minyak dari musang, minyak cognac dan kasturi.

 

Kastoreum dalam indutri

Di dalam industri pembuatan minyak wangi, kastoreum menjadi bahan juara dalam mengekalkan wangian. Ianya seringkali dijadikan sebagai not asas dalam penghasilan pewangi dimana baunya kekal berpanjangan setelah minyak tersebut dikenakan pada pengguna. Kastoreum turut digunakan untuk menghasilkan bau-bauan yang lain seperti kulit, tembakau dan ambar. Kedua-dua pengguna lelaki dan wanita sesuai menggunakan kastoreum dalam kehidupan seharian. Seiringan dengan arus moden, bantahan aktivis terhadap pengekploitasian dan kekejaman haiwan serta kurangnya penghargaan terhadap sumber alam ini, maka kastoreum kurang mendapat sambutan dalam pasaran minyak wangi moden.

Kastoreum diperkenalkan dalam dunia kosmetik sebagai bahan pengikat dimana ianya menjadikan produk kosmetik tersebut kalis penyejatan. Tambahan pula, sifat semula jadinya yang wangi memberikan bau yang semerbak kepada produk tersebut. Antara produk yang menggunakan kastoreum ialah bedak muka, sabun dan krim kecantikan.

Bayangkan, anda sedangkan menikmati roti tanpa anda sedari bahawa bahan perisanya bersumberkan dari beaver. Ya, seperti yang telah dijelaskan diatas kastoreum selamat digunakan sebagai perisa makanan secara amnya. Antara makanan yang sering ditambah perisa ini ialah aiskrim, gelatin, puding, air minuman, manisan, gula-gula dan pelbagai jenis roti. Malah sehingga kini, masih ada yang meneruskan penggunaan kastoreum contohnya di Sweden terdapat sejenis minuman alkohol bernama Bäverhojt yang bermaksud ‘jeritan beaver’. Minuman ini terdiri daripada air arak dan kastoreum yang diminum oleh mereka sebelum memulakan pemburuan beaver.

(a) Indikasi kawasan yang dipotong dan dibuka. (b) Dua kelenjar kastor berada dibahagian atas manakala dua kelenjar dubur berada dibahagian bawah. Garisan merupakan indikasi cara pemisahan kelenjar.

(Petikan gambar: Wild furbearer management and conservation in North America (ms.842-861))

 

Kenyataan FDA

“Perisa vanila dari dubur beaver”. Bunyinya agak janggal dan menggelikan tetapi dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbiran makanan dan ubatan (FDA) iaitu kastoreum dikategorikan sebagai bahan yang selamat dibawah seksyen 582.50 kepastian rempah ratus, perasa, minyak pati, perasa, olioresin, dan ekstrak semulajadi yang lain. Dua species sumber kastoreum yang direkod dalam dokumen tersebut ialah beaver eropah, Castor fiber L. dan beaver amerika, Castor canadensis Kuhl. Seangkatan dengannya,

Bäverhojt: Minuman alkohol orang Sweden yang dicampur dengan kastoreum

Kebaikan dan keburukan kastoreum

Di Malaysia, beaver bukanlah haiwan yang boleh didapati atau dapat dilihat di alam semula jadi kerana ianya berhabitat di Amerika Utara, Eropah dan sebahagian Asia. Oleh itu, keupayaan untuk mendapatkan sumber kastoreum menjadi agak sukar dan hanya boleh didapati secara import. Namun haruslah diingati bahawa kastoreum hanya dapat dihasilkan sekitar 400 hingga 500 kg sahaja setiap tahun. Hal ini menjadikan kastoreum bahan yang nadir dan mahal dipasaran. Malah, kastoreum turut berpotensi mempunyai kesan sampingan seperti alahan dan kerengsaan pada kulit.

Dari sudut positif, kastoreum boleh menjadi pengganti perisa vanila yang baik. Walaupun agak sedikit pahit namun ianya mempunyai nilai anti oksida yang tinggi. Tetapi persoalan yang tertinggal di sini ialah “Adakah kastoreum halal bagi pengguna beragama Islam?”.

 

Disediakan oleh,

 

Muhamad Ismail bin Othman

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan,

Bidang Biologi, Pusat Asasi Sains,

Universiti Putra Malaysia

011-25599819

m.ismail@upm.edu.my

Tarikh Input: 01/12/2023 | Kemaskini: 01/12/2023 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
SXEcFAn~