MY FUTURE JOURNEY 2024 – PATHWAY TO HIGHER EDUCATION IN UPM | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » MY FUTURE JOURNEY 2024 – PATHWAY TO HIGHER EDUCATION IN UPM

MY FUTURE JOURNEY 2024 – PATHWAY TO HIGHER EDUCATION IN UPM

SERDANG, 19 April – Program My Future Journey 2024 anjuran Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) telah diadakan di Dewan Bankuet UPM. Program ini diadakan dengan kerjasama Bahagian Kemasukan dan Tadbir Urus Akademik UPM serta fakulti-fakulti yang akan menawarkan program pengajian peringkat bacelor kepada pelajar lepasan Program Asasi Sains Pertanian. Selain terbuka kepada pelajar ASPutra, ASPutra juga menjemput sekolah dan komuniti sekitar Selangor terutamanya yang berada berhampiran dengan UPM. Program yang telah dihadiri oleh kira-kira 700 orang pelajar ASPutra ini telah bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.

Para pelajar serta ibu bapa pelajar diberi peluang untuk melawat 14 tapak pameran yang disertai oleh 12 fakulti, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi serta Bahagian Kemasukan UPM bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang kursus-kursus yang ditawarkan, syarat-syarat kemasukan, serta peluang kerjaya yang boleh diterokai setelah tamat pengajian. Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada individu yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.

Dr. Muhammad Alif Mohammad Latif, Timbalan Pengarah II ASPutra yang bertindak selaku Pengarah Program berkata penganjuran program My Future Journey 2024 itu diharapkan dapat memberi impak yang besar kepada para pelajar ASPutra serta komuniti setempat. “Kami di ASPutra berharap program ini dapat membantu para pelajar ASPutra untuk berhubung terus dengan fakulti yang menawarkan program pengajian peringkat bacelor di UPM, membantu pelajar untuk meneliti program-program yang diminati serta memberi satu peluang untuk pelajar mengkaji pasaran kerjaya yang ditawarkan dalam bidang-bidang yang ingin diceburi kelak” katanya.

Tinjauan oleh pihak ASPutra mendapati rata-rata pengunjung sangat berpuas hati dengan program yang dianjurkan dan berpandangan program ini amat bermanfaat dalam membantu mereka membuat pilihan yang tepat dalam menentukan hala tuju kerjaya pada masa hadapan.

 

 

 

 

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
WXFRRAW~