PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN (PASP) KINI DIKENALI SEBAGAI PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (ASPutra) | PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» BERITA » PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN (PASP) KINI DIKENALI SEBAGAI PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (ASPutra)

PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN (PASP) KINI DIKENALI SEBAGAI PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (ASPutra)

PUSAT ASASI SAINS PERTANIAN (PASP) KINI DIKENALI SEBAGAI PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (ASPutra)

SERDANG, 19 April – Pusat Asasi Sains Pertanian (PASP) kini secara rasmi dikenali sebagai Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra). Pertukaran nama Baharu ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM semasa Majlis Pelancaran Nama Baharu ASPutra.

Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia telah membantu Universiti dalam melahirkan ramai mahasiswa cemerlang di peringkat bachelor. ASPutra telah menjadi entiti penting kepada UPM dalam bidang akademik kerana menawarkan pengajian asas merangkumi pelbagai subjek asas sains seperti biologi, kimia, fizik dan matematik.

Dalam ucapannya juga, YBhg. menyatakan Universiti Putra Malaysia memiliki keunikannya yang tersendiri apabila menjadi satu-satunya universiti awam yang mengetengahkan pelajaran tinggi dalam bidang pertanian. Namun begitu, YBhg. Prof. menekankan bahawa penjenamaan semula ini amat penting dalam meningkatkan keterlihatan dan persaingan program asasi sains di UPM dengan universiti awam yang lain. “Saya berharap penjenamaan semula Pusat Asasi Sains Pertanian kepada Pusat Asasi Sains Universiti Putra Malaysia (ASPutra) ini dapat mengubah persepsi awam dan menarik lebih ramai pelajar lepasan SPM untuk memilih UPM sebagai pilihan utama bagi pengajian peringkat prauniversiti dan seterusnya di peringkat bacelor” katanya.

Sementara itu, Pengarah ASPutra, YBrs. Prof. Madya Dr. Marina Binti Mohd. Top @ Mohd. Tah dalam ucapannya menyeru agar para pelajar sentiasa berusaha untuk membentuk identiti diri sebagai seorang graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran, serta cemerlang di peringkat yang lebih tinggi selepas ini. Pengarah ASPutra turut berjanji warga ASPutra akan meneruskan usaha dalam memastikan graduan yang bakal dilahirkan berkualiti, berdaya saing serta mempunyai sahsiah dan jati diri yang tinggi.

Hadir sama di majlis ialah Dr. Muhammad Alif Mohammad Latif; Timbalan Pengarah II ASPutra, Hj. Mat Razi Abdullah; Timbalan Pendaftar ASPutra dan Encik Mohd Firdaus Zakaria; Ketua Bahagian Kemasukan UPM yang mewakili Bahagian Kemasukan dan Tadbir Urus Akademik UPM.

Tarikh Input: 30/04/2024 | Kemaskini: 30/04/2024 | hasniah

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT ASASI SAINS UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696998
tiada
WXFRQAr~